|
Kedudukan keseluruhan MSSN 2015 |
Biarpun 'Aspirasi Kedah Top 5 2015' menyasarkan kepada lonjakan di dalam bidang akademik melalui peningkatan pencapaian gred purata peperiksaan awam (GPPA) menjelang 2015, pihak Unit Sukan JPN Kedah juga tidak mahu terkecuali di dalam menyahut hasrat murni JPN Kedah yang dilancarkan oleh YAB. Menteri Besar Kedah pada tanggal 20 September 2013 itu.
Selepas mengharungi 24 acara sukan sepanjang tahun 2015, pencapaian Kedah menerusi kontinjen MSSK telah berjaya berada di kedudukan keempat keseluruhan di kalangan 16 buah kontinjen Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN) yang bertanding. Sukan skuasy dan pelayaran menjadi penyumbang utama kepada pencapaian memberangsangkan MSSK setelah berjaya menggondol johan keseluruhan MSSM selain dibantu oleh kontinjen badminton dan memanah yang muncul naib johan keseluruhan.
Selain itu, turut menunjukkan peningkatan adalah kontinjen balapan dan padang yang dianggap sebagai 'ibu segala sukan' di peringkat MSSM. Kecewa sebagai tuan rumah pada kejohanan edisi ke-56 tahun lalu dengan hanya menduduki tempat kelapan, MSSK bangkit dengan berbagai-bagai persiapan dan program pembangunan untuk memperbaiki pungutan pingat dan pencapaian di Melaka. Hasilnya, MSSK berjaya menamatkan kejohanan di kedudukan kelima dengan mengutip lapan pingat emas, sembilan pingat perak dan sembilan pingat gangsa.
Semoga pencapaian tahun 2015 ini akan dapat dipertahankan, memperlihatkan peningkatan dan mula mengorak langkah untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada tahun 2016. Segala kejayaan yang dikecap ini adalah hasil kesepakatan, iltizam serta kerja keras semua pegawai dan atlet MSSK sendiri.
Syabas dan tahniah MSSK!