Friday 23 October 2015

Makluman Mengenai Isu Jerebu di Sekolah

1. Unit Sukan JPN Kedah mengambil maklum situasi jerebu yang sedang melanda negara amnya dan negeri Kedah khususnya yang boleh membawa kesan kepada kesihatan pelajar-pelajar di seluruh negeri Kedah.

2. Berdasarkan pemantauan sehingga jam 12.00 tengah hari ini bersamaan hari Jumaat, 23 Oktober 2015, didapati bacaan IPU bagi negeri Kedah masih menunjukkan tahap bacaan IPU ‘Tidak Sihat’.

3. Sehubungan itu, semua PPD dan sekolah diminta untuk memantau tahap keseriusan jerebu di lokaliti masing-masing dan boleh membuat keputusan untuk menangguhkan semua program, aktiviti atau pertandingan sukan samada di peringkat sekolah, PKG, daerah mahupun negeri yang akan dijalankan di luar bilik darjah.

4. Kesihatan dan keselamatan pelajar haruslah diberikan keutamaan.

Sekian, dimaklumkan.

~ Unit Sukan JPN Kedah

Saturday 3 October 2015

Pelaksanaan Program Hari Sukan Negara 2015 Peringkat JPN, PPD dan Sekolah Negeri Kedah


Mesyuarat Jemaah Menteri pada 28 Januari 2015 telah bersetuju dengan memorandum daripada Kementerian Belia dan Sukan bahawa pelaksanaan Sambutan Hari Sukan Negara akan diadakan pada hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober setiap tahun. Justeru, pada tahun ini sambutan tersebut akan diadakan pada 10 Oktober 2015. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengalu-alukan program tersebut dan akan mengadakannya di peringkat kebangsaan pada tarikh yang dicadangkan.

Sehubungan dengan itu, sebagai tanda sokongan kepada program Hari Sukan Negara ini, JPN Kedah akan turut mengadakan sambutan di peringkat JPN, PPD dan sekolah. Semua PPD dan sekolah di seluruh negeri Kedah dikehendaki melaksanakan program Hari Sukan Negara di peringkat PPD dan sekolah selaras dengan ‘Surat Siaran KPM Bilangan 10 Tahun 2015: Cuti Berganti Sempena Hari Raya Aidilfitri 2015’ bertarikh 27 Julai 2015 yang telah menetapkan bahawa tarikh 10 Oktober 2015 juga merupakan hari ganti persekolahan bagi seluruh negara.

Semua PPD dan sekolah juga dikehendaki melaksanakannya dengan melibatkan semua warga PPD dan sekolah masing-masing. Pengetua / Guru Besar bolehlah merancang pengisian program dengan mengambil kira kaedah '3M' iaitu 'murah, menarik dan mudah' untuk dilaksanakan. PPD dan sekolah digalakkan untuk mengadakan pertandingan, pertunjukan, bengkel, seminar atau aktiviti riadah yang berkaitan dengan sukan dan kegiatan fizikal seperti aktiviti senamrobik dan program pembangunan sukan sekolah contohnya dengan mengadakan pertandingan antara kelas, rumah sukan, asrama (dorm) atau lain-lain aktiviti yang difikirkan sesuai.

Semua pihak juga dipohon agar dapat memberi penekanan kepada aspek pengurusan penganjuran dan keselamatan mengikut 'Standard Operating Procedures' (SOP) yang ditetapkan agar program-program yang dianjurkan dapat berjalan lancar dan mencapai matlamatnya. 

Sebarang pertanyaan berkaitan perkara tersebut sila hubungi Puan Shabinar binti Abd Halim, Penyelia Sukan, Unit Sukan JPN Kedah di talian di 04-774 5165 / 016-215 2850.