Tuesday, 29 December 2015

Selamat Bersara Tuan Haji Zainol

Zainol Hasshim, Penyelia Kanan Sukan PPD Kuala Muda / Yan

Unit Sukan JPN Kedah mengucapkan 'Selamat Bersara' kepada Tuan Haji Zainol bin Hasshim, Penyelia Kanan Sukan PPD Kuala Muda / Yan yang akan meninggalkan arena pendidikan bermula esok, 1 Januari 2016.

Semua pegawai dan staf sukan JPN, PPD negeri Kedah serta barisan Pengerusi Teknik dan Pembangunan Sukan MSSK turut mendoakan semoga Tuan Haji Zainol sentiasa diberi perlindungan dan kesihatan berpanjangan oleh Allah SWT serta dimurahkan rezeki dan berbahagia bersama keluarga tercinta.

Terima kasih, selamat bersara dan jasamu tetap dikenang.

Wednesday, 2 December 2015

Pencapaian Sukan di Kejohanan MSSM 2015 Capai 'Aspirasi Kedah Top 5 2015'

Kedudukan keseluruhan MSSN 2015

Biarpun 'Aspirasi Kedah Top 5 2015' menyasarkan kepada lonjakan di dalam bidang akademik melalui peningkatan pencapaian gred purata peperiksaan awam (GPPA) menjelang 2015, pihak Unit Sukan JPN Kedah juga tidak mahu terkecuali di dalam menyahut hasrat murni JPN Kedah yang dilancarkan oleh YAB. Menteri Besar Kedah pada tanggal 20 September 2013 itu.

Selepas mengharungi 24 acara sukan sepanjang tahun 2015, pencapaian Kedah menerusi kontinjen MSSK telah berjaya berada di kedudukan keempat keseluruhan di kalangan 16 buah kontinjen Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN) yang bertanding. Sukan skuasy dan pelayaran menjadi penyumbang utama kepada pencapaian memberangsangkan MSSK setelah berjaya menggondol johan keseluruhan MSSM selain dibantu oleh kontinjen badminton dan memanah yang muncul naib johan keseluruhan.


Selain itu, turut menunjukkan peningkatan adalah kontinjen balapan dan padang yang dianggap sebagai 'ibu segala sukan' di peringkat MSSM. Kecewa sebagai tuan rumah pada kejohanan edisi ke-56 tahun lalu dengan hanya menduduki tempat kelapan, MSSK bangkit dengan berbagai-bagai persiapan dan program pembangunan untuk memperbaiki pungutan pingat dan pencapaian di Melaka. Hasilnya, MSSK berjaya menamatkan kejohanan di kedudukan kelima dengan mengutip lapan pingat emas, sembilan pingat perak dan sembilan pingat gangsa.

Semoga pencapaian tahun 2015 ini akan dapat dipertahankan, memperlihatkan peningkatan dan mula mengorak langkah untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada tahun 2016. Segala kejayaan yang dikecap ini adalah hasil kesepakatan, iltizam serta kerja keras semua pegawai dan atlet MSSK sendiri.

Syabas dan tahniah MSSK!

Saturday, 21 November 2015

Empat Pegawai dan Lima Atlet Murid MSSK Kini Berada di Brunei Darussalam

Ketua Unit Sukan, En. Lazit Ahmad mengetuai sembilan orang wakil pegawai dan atlet murid Majlis Sukan Sekolah Kedah (MSSK) bagi membawa cabaran Malaysia dan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) ke kejohanan Sukan Sekolah-sekolah ASEAN Kali ke-7 2015 (7th ASEAN Schools Games 2015). Temasya tahunan tersebut akan berlangsung dari 21 hingga 29 November 2015.



Berikut adalah senarai pegawai dan atlet dari Kedah yang akan mewakili Malaysia ke '7th ASG 2015':

Pegawai:
  • En. Lazit bin Ahmad (Unit Sukan JPN Kedah) - Pengurus Balapan & Padang
  • En. Mohamad Zoher bin Ideris (SMK Darulaman Heights 1, Jitra) - Jurulatih Balapan & Padang
  • En. Mazlan bin Abdullah (Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar) - Jurulatih Akuatik
  • Tn. Syed Husain bin Syed Abu Bakar Aledroos  (Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar) - Jurulatih Sepaktakraw


Atlet:
  • Mohd Syakim bin Mohamad Jamil (SMK Dulang, Yan) - Sepaktakraw
  • Nur Fatihah binti Zainuddin (SMK Bandar Baru Darulaman, Jitra) - Pencak Silat
  • Moneskumar a/l Selvadorai (SMK Kuala Ketil, Kuala Ketil) - Balapan & Padang
  • Yee Hieang Kai (SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman, Jitra) - Balapan & Padang
  • Mohd Amzar Syahmie bin Mohd Zaim (SMK Pulau Nyior, Jitra) - Balapan & Padang






Selamat Maju Jaya Kontinjen MSSM!

Maklumat lanjut kejohanan:

Friday, 23 October 2015

Makluman Mengenai Isu Jerebu di Sekolah

1. Unit Sukan JPN Kedah mengambil maklum situasi jerebu yang sedang melanda negara amnya dan negeri Kedah khususnya yang boleh membawa kesan kepada kesihatan pelajar-pelajar di seluruh negeri Kedah.

2. Berdasarkan pemantauan sehingga jam 12.00 tengah hari ini bersamaan hari Jumaat, 23 Oktober 2015, didapati bacaan IPU bagi negeri Kedah masih menunjukkan tahap bacaan IPU ‘Tidak Sihat’.

3. Sehubungan itu, semua PPD dan sekolah diminta untuk memantau tahap keseriusan jerebu di lokaliti masing-masing dan boleh membuat keputusan untuk menangguhkan semua program, aktiviti atau pertandingan sukan samada di peringkat sekolah, PKG, daerah mahupun negeri yang akan dijalankan di luar bilik darjah.

4. Kesihatan dan keselamatan pelajar haruslah diberikan keutamaan.

Sekian, dimaklumkan.

~ Unit Sukan JPN Kedah

Saturday, 3 October 2015

Pelaksanaan Program Hari Sukan Negara 2015 Peringkat JPN, PPD dan Sekolah Negeri Kedah


Mesyuarat Jemaah Menteri pada 28 Januari 2015 telah bersetuju dengan memorandum daripada Kementerian Belia dan Sukan bahawa pelaksanaan Sambutan Hari Sukan Negara akan diadakan pada hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober setiap tahun. Justeru, pada tahun ini sambutan tersebut akan diadakan pada 10 Oktober 2015. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengalu-alukan program tersebut dan akan mengadakannya di peringkat kebangsaan pada tarikh yang dicadangkan.

Sehubungan dengan itu, sebagai tanda sokongan kepada program Hari Sukan Negara ini, JPN Kedah akan turut mengadakan sambutan di peringkat JPN, PPD dan sekolah. Semua PPD dan sekolah di seluruh negeri Kedah dikehendaki melaksanakan program Hari Sukan Negara di peringkat PPD dan sekolah selaras dengan ‘Surat Siaran KPM Bilangan 10 Tahun 2015: Cuti Berganti Sempena Hari Raya Aidilfitri 2015’ bertarikh 27 Julai 2015 yang telah menetapkan bahawa tarikh 10 Oktober 2015 juga merupakan hari ganti persekolahan bagi seluruh negara.

Semua PPD dan sekolah juga dikehendaki melaksanakannya dengan melibatkan semua warga PPD dan sekolah masing-masing. Pengetua / Guru Besar bolehlah merancang pengisian program dengan mengambil kira kaedah '3M' iaitu 'murah, menarik dan mudah' untuk dilaksanakan. PPD dan sekolah digalakkan untuk mengadakan pertandingan, pertunjukan, bengkel, seminar atau aktiviti riadah yang berkaitan dengan sukan dan kegiatan fizikal seperti aktiviti senamrobik dan program pembangunan sukan sekolah contohnya dengan mengadakan pertandingan antara kelas, rumah sukan, asrama (dorm) atau lain-lain aktiviti yang difikirkan sesuai.

Semua pihak juga dipohon agar dapat memberi penekanan kepada aspek pengurusan penganjuran dan keselamatan mengikut 'Standard Operating Procedures' (SOP) yang ditetapkan agar program-program yang dianjurkan dapat berjalan lancar dan mencapai matlamatnya. 

Sebarang pertanyaan berkaitan perkara tersebut sila hubungi Puan Shabinar binti Abd Halim, Penyelia Sukan, Unit Sukan JPN Kedah di talian di 04-774 5165 / 016-215 2850.