Sunday 7 June 2015

Kata Alu-aluan Pengarah Pendidikan Negeri Kedah Sempena Kejohanan MSSM 2015 Kedah


 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia
dan Salam Kedah Aman Makmur, Bersama Menjana Transformasi

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan hidayahNya, saya diberi kesempatan untuk merakamkan kata alu-aluan di dalam buku program sempena Kejohanan Bola Sepak, Kriket dan Bola Jaring Majlis Sukan Sekolah Malaysia di negeri Kedah ini. Terima kasih diucapkan kepada Bahagian Sukan, Kementerian Pendidikan Malaysia atas penghormatan yang diberikan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Kedah untuk mengelola kejohanan bola sepak, kriket dan bola jaring.

Kesempatan ini, saya mengucapkan selamat datang ke negeri Kedah Darul Aman dan selamat bertanding kepada semua pegawai, jurulatih dan peserta ke Kejohanan Bola Sepak, Kriket dan Bola Jaring Majlis Sukan Sekolah Malaysia Kedah 2015.

Sukan merupakan satu wadah ke arah pemupukkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia. Melalui sukan juga nilai-nilai murni yang dipelajari dapat dipraktikkan dan melalui sukan juga jurang integrasi kaum dapat dirapatkan. Sesungguhnya melalui sukan juga perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek dapat dijana berlandaskan Falsafah Pendidikan Negara selaras dengan gelombang Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).

Pegawai, jurulatih dan peserta yang bertanding diingatkan agar sentiasa mengamalkan semangat kesukanan yang tinggi. Kemenangan bukanlah segalanya tetapi bagaimana kita memperoleh kejayaan itu amat penting. Jangan kerana terlampau mengejar kejayaan kita lupa akan nilai-nilai kesukanan dan jangan pula kita korbankan perpaduan yang ada demi satu kejayaan.

Akhir kata, saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Jawatankuasa Pengelola Kejohanan Bola Sepak, Kriket dan Bola Jaring yang telah bekerjasama dalam memastikan kejayaan pengelolaan yang cemerlang.

"Sukan Memupuk Pencapaian 1Malaysia"

Sekian, terima kasih.

DATIN HAJAH AZUYAH BINTI HASSAN, SDK., AMK.
Pengarah Pendidikan Negeri Kedah
Jabatan Pendidikan Negeri Kedah

*Dipetik daripada buku program Kejohanan Bola Sepak, Kriket dan Bola Jaring MSSM 2015

No comments:

Post a Comment