Friday 1 May 2015

BERNAMA - 'Guru: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak' Tema Sambutan Hari Guru 2015

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- 'Guru: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak' merupakan tema sambutan Hari Guru kali ke-44 tahun ini.


Timbalan Menteri Pendidikan Kedua P Kamalanathan berkata ia selaras dengan hasrat murni warga Kementerian Pendidikan menyempurnakan keberhasilan berpandukan enam aspirasi murid seperti dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

"Pemilihan tema itu amatlah bersesuaian dengan peranan guru kerana sejak dahulu lagi guru merupakan insan yang membuka minda, membangun dan menggalakkan ilmu baca, tulis dan kira bagi memimpin anak-anak demi mencapai kejayaan dengan menerapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan harian mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Prapelancaran Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-44 Tahun 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Khamis.

Mengulas lanjut, Kamalanathan berkata tema itu bukan sahaja memberi kesedaran tentang pentingnya kreativiti dalam penyampaian ilmu tetapi juga memastikan ilmu berkenaan dapat meningkatkan tahap pendidikan murid.

Pada tahun ini Kedah menjadi tuan rumah sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan itu.

Antara program yang diatur sempena sambutan Hari Guru dari 14 hingga 16 Mei nanti ialah Pelancaran Pameran Pendidikan dan Festival Hari Guru serta Pelancaran Buku yang berkonsepkan kelestarian pendidikan dulu, kini dan akan datang selain Wacana Intelek Keberhasilan Gelombang 1 PPPM 2013-2025.

Acara kemuncak adalah Majlis Pelancaran Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2015 yang dijadual disempurnakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Mei.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment