Saturday 2 May 2015

Definisi dan Huraian Tema Hari Guru 2015


DEFINISI TEMA HARI GURU 2015:

  • GURU: Kata GURU merangkumi semua warga pendidik yang menyumbang khidmat bakti dalam semua bentuk institusi pendidikan yang menjadi penggerak serta pendukung kepada pembangunan pendidikan Negara. Guru merupakan insan yang berpengetahuan luas, berkemahiran tinggi dalam bidangnya dan mempunyai keperibadian terpuji serta berupaya menjadikan diri mereka sebagai suri teladan.

  • MEMBINA ILMU: Individu yang membangunkan dan membentuk atau mewujudkan kualiti pada setiap insan dan keilmuan. Dalam konteks pendidikan, guru berperanan sebagai individu yang membina dan membentuk kualiti individu murid/ pelajar dalam aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek (kognitif).

  • MENYEMPURNAKAN: Menjadikan sempurna atau lengkap. Warga pendidik berperanan untuk menyempurnakan keberhasilan murid berpandukan enam aspirasi murid yang dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015.

  • AKHLAK: Budi pekerti dan nilai-nilai murni sejagat yang perlu ada dan dihayati oleh setiap modal insane bagi mendepani cabaran dan perubahan dalam kehidupan.



HURAIAN TEMA HARI GURU 2015:

  • Guru berperanan mengupayakan diri dengan ilmu dan pengalaman agar dapat membangunkan potensi insan melalui penyerapan elemen-elemen kerohanian dan kurikulum, menyediakan kepelbagaian bahan rangsangan bagi mengoptimumkan potensi murid serta menyediakan pelan pembangunan individu yang menyeluruh dan bersepadu bagi menghasilkan modal insan bertaraf dunia. Warga pendidik perlu memainkan peranan penting dalam menyediakan serta membentuk insan peribadi mulia berpersonaliti unggul di dalam membina negara bangsa yang berkualiti.

  • Peranan guru juga tidak terbatas hanya kepada menyampaikan kandungan silibus dalam bilik darjah, malah guru perlu kreatif dan inovatif dalam pembangunan ilmu (knowledge development) dalam kalangan anak didik seiring dengan perkembangan teknologi dan keperluan masa depan melalui amalan pengajaran guru yang berpusatkan pelajar serta penggunaan bahan sumber secara berkesan.

  • Peranan guru adalah menghasilkan modal insan holistik yang berilmu dan berakhlak ke arah kesempurnaan kemenjadian murid. Seperti yang digarapkan dalam PPPM 2013 - 2025, sistem pendidikan Malaysia berhasrat untuk melahirkan murid berdasarkan enam aspirasi murid, iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika serta kerohanian dan identiti nasional. Justeru guru merupakan agen ke arah merealisasikan hasrat tersebut.

No comments:

Post a Comment